Menurut agensi berita Singapura,MEDIACORP sesetengah gerai dan premis perniagaan beraskan ayam mungkin ‘tutup kedai buat sementara waktu’ ekoran larangan eksport ayam oleh Malaysia.
Harga ayam sudah semakin meningkat sejak sebulan lalu. Menurut data Jabatan Statistik Singapura (DOS), harga purata bagi keseluruhan ayam yang disejukkan adalah S$7.21 sekilogram pada April tahun ini, meningkat dari S$6.60 sekilogram pada Mac.
Kepak ayam yang disejukkan juga meningkat dari S$8.75 sekilogram pada Mac kepada S$9.45 sekilogram pada April.
Larangan eksport ayam dari Malaysia membimbangkan sesetengah pegerai di Singapura kerana ia mungkin akan menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi.
Ini dikhuatiri akan menjejas perniagaan mereka.
Di Pasar Bukit Merah View, Encik Mohamed Basheer, pemilik gerai Halnaz Frozen Goods, berkata perniagaannya sudahpun terjejas dengan kenaikan harga makanan. Sungguhpun demikian, peniaga berusia 42 tahun itu telah cuba untuk tidak menaikkan harganya terlalu tinggi.
“Jika harga jualan saya dinaikkan, saya khuatir pelanggan akan lari. Lagipun, Sheng Siong, FairPrice, sudah mula menaikkan sedikit harga mereka dan para penjual di pasar basah kini dalam kedudukan yang sangat sukar sekarang,” katanya kepada Mediacorp.
Encik Basheer, yang menjual daging halal termasuk ayam, berkata sesetengah pelanggan kurang senang dengan harga yang “semakin mahal”.
“(Tetapi saya memberitahu mereka) tiada pilihan lain. (Gerai-gerai lain) sudah menaikkan harga, saya juga terpaksa menaikkan harga,” luah Encik Basheer.
SESETENGAH PELANGGAN “TIDAK BEGITU” TERJEJAS
Sungguhpun demikian, pelanggan-pelanggan lain yang beratur untuk membeli ayam segar di pasar basah berkata penggantungan itu “tidak begitu menjejas” kehidupan mereka.
Seorang pelanggan, Cik Jenny Ng, yang enggan mendedahkan usianya berkata, keluarganya hanya makan daging ayam sekali-sekala saja. Dia membelinya dari sebuah gerai di Pasar Beo Crescent “hanya bila dia memerlukannya”.
“(Jika gerai ayam berhenti menjualnya), maka saya akan membelinya di tempat lain. Gerai ini terletak berhampiran dengan rumah saya, jadi saya datang ke sini apabila saya membeli makanan (di pasar),” katanya.
Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan pada Isnin (23 Mei) bahawa ia sedang berusaha untuk mengurangkan kesan bekalan ayam selepas Malaysia mengenakan sekatan pada eksport daging haiwan tersebut.
Dalam catatan Facebooknya, SFA menyatakan bahawa sekitar 34 peratus daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia. Hampir kesemua ayam diimport hidup-hidup yang kemudian disembelih dan dibekukan di Singapura.
Sumber-sumber utama ayam termasuk Brazil (49 peratus) dan Amerika Syarikat (12 peratus).
“SFA sedang memantau keadaan import dari Malaysia dengan teliti dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, seperti para pengimport untuk mengurangkan kesannya terhadap bekalan ayam kita,” menurut SFA.
“Sebagai contoh, ia akan mengaktifkan rantaian bekalannya untuk meningkatkan import ayam beku daripada sumber-sumber alternatif, meningkatkan import ayam beku daripada pembekal sedia ada yang bukan dari Malaysia, atau mendapatkan bekalan hasil ternakannya.”
Agensi itu turut menggesa para pembeli supaya bersikap terbuka untuk menukar pilihan, seperti membeli ayam beku.
“Walaupun mungkin terdapat gangguan buat sementara waktu pada bekalan ayam, pilihan ayam beku kekal tersedia bagi menangani kekurangan bekalan,” menurut SFA.
“Kami amat menggalakkan para pembeli supaya memainkan peranan mereka dengan bersikap terbuka untuk menukar pilihan makanan (seperti membeli ayam beku) serta sumber produk daging yang lain. Kami juga menasihatkan para pembeli supaya hanya membeli apa yang diperlukan saja.”