Ekonomi Australia pulih pada kadar lebih pantas berbanding jangkaan pada suku terakhir tahun lalu dan semua petanda menunjukkan tahun 2021 bermula dengan baik dibantu oleh rangsangan monetari dan fiskal.
Ekonomi bertumbuh pada kadar 3.1% dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu, menurut data daripada Biro Statistik Australia (ABS) pada hari Rabu, angka yang lebih tinggi daripada ramalan 2.5%, selepas suku ke-3 mencatatkan pertumbuhan 3.4%.
Walaupun mencatatkan dua suku tahun yang terbaik secara berturut-turut dari segi pertumbuhan ekonomi, keluaran tahunan masih lagi menguncup 1.1%, memperlihatkan impak pandemik coronavirus dan perlunya bantuan dasar untuk ekonomi bernilai A$2 trillion ($1.57 trillion) itu.
Susulan laporan tersebut, Dolar Australia (AUD) mengukuh kepada $0.7836.
“Pemulihan bentuk “V” boleh dilihat dari semua sudut — pertumbuhan ekonomi, pasaran pekerjaan, perbelanjaan runcit dan juga pasaran hartanah,” kata Craig James, ketua ekonomi di CommSec.
James menjangkakan ekonomi untuk pulih 4.2% pada 2021.
Ekonomi Australia mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding negara maju lain hasil daripada penularan wabak Covid-19 yang rendah beserta rangsangan fiskal dan monetari berskala besar.
Keluaran ekonomi Australia menguncup 2.5% pada 2020, jauh lebih rendah daripada 10% yang dicatatkan di United Kingdom, 9% di Itali, 5% di Kanada dan sekitar 3% di Amerika Syarikat.
Dan bagi mengurangkan lagi kejutan ekonomi ekoran pandemik, Reserve Bank of Australia (RBA) telah memotong kadar faedah tiga kali pada tahun lalu ke paras terendah dalam rekod iaitu 0.1% serta melancarkan program pelonggaran kuantitatif (QE) yang tidak pernah dilihat.
Semalam, RBA sekali lagi memberi komitmen untuk mengekalkan pulangan perbendaharaan pada 0.1% sehingga sasaran pekerjaan dan inflasi dicapai, yang dijangka hanya akan dicecah menjelang 2024.