24.9 C
Kuala Lumpur
spot_img

Hutang kerajaan meningkat RM100 bilion – Ketua Audit Negara

Date:

Share:

Hutang kerajaan Persekutuan tahun lepas berjumlah RM979.81 bilion, iaitu 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat RM100 bilion berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan jumlah RM879.56 bilion.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata peningkatan begitu besar itu bagaimanapun dilihat mempunyai asas, memandangkan sebahagian daripada pinjaman berkenaan digunakan untuk membiayai aktiviti tangani COVID-19 dan penjanaan semula ekonomi.

“Itu kita fahami, cuma yang kita bimbang, kenaikan hutang tinggi ini tidak boleh berterusan, ini sepatutnya jadi langkah jangka pendek sahaja.

“Pada pandangan kita, kerajaan perlu ambil ini sebagai langkah sementara dan ambil tindakan pembetulan supaya perkara ini dapat dikawal, supaya ia lebih manageable, lebih senang diurus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini selepas mengadakan taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2021 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pengerusi PAC Wong Kah Woh dan ahli PAC.

Wong berkata peningkatan hutang berkenaan turut menyebabkan liabiliti keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada 2021 kini berjumlah Rm1.298 trilion, iaitu 84 peratus daripada KDNK negara.

Beliau berkata walaupun Penyata Kewangan Kerajaan Tahun 2021 itu diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, terdapat perkara-perkara ditegaskan Ketua Audit Negara yang perlu diberikan perhatian kerajaan.

“Antaranya penegasan perkara, termasuk berhubung bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peratusan perbelanjaan pembangunan, peningkatan hutang persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai,” katanya.

Wong berkata tahun lepas kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion, meningkat 11.6 peratus berbanding RM194.55 bilion tahun sebelumnya, dengan 52.4 peratus atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang.

Pinjaman kasar yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan pula menurutnya adalah RM62.317 bilion bersamaan 28.7 peratus daripada jumlah pinjaman, manakala pindahan ke Kumpulan Wang COVID-19 adalah sebanyak RM38 bilion atau 17.5 peratus.

“Daripada RM62.317 bilion yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan hanya RM40.994 bilion digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan, berbanding RM37.53 bilion pada 2020.

“Manakala sejumlah RM12.612 bilion digunakan untuk menanggung Liabiliti PFI dan Komitmen Jaminan dan RM8.711 bilion digunakan untuk Pengelasan Belanja Mengurus kepada Pembangunan,” katanya.

Mengenai pembayaran faedah pinjaman, Wong berkata 16.3 peratus daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan tersebut.

“Maksudnya, setiap RM1 hasil yang dikutip, maka 16 sen digunakan untuk bayaran faedah pinjaman,” katanya.

Sehubungan itu, Wong berkata PAC akan terus komited memainkan peranan semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam pengurusan kewangan dan perolehan bagi memastikan ia mematuhi prosedur serta tatacara yang ditetapkan seperti diperuntuk dalam Sistem Demokrasi Raja Berpelembagaan di negara ini.

— BERNAMA

Langgan Majalah Forex Malaysia

━ more like this

UK’s Economy To Dip Into Recession This Winter

The UK’s recession will officially begin this winter and is likely to last for most of next year, a closely watched survey out today...

Zombie Virus : Saintis Temui Virus Purba Yang Hidup Semula

Penyelidik menemui virus yang hidup semula daripada cairan permafrost Siberia yang telah beku sehingga 48,500 tahun, menimbulkan kebimbangan bahawa patogen tersebut boleh mencentuskan wabak...

Analisis Harga GBP/USD: Bertahan stabil sekitar 1.2300, betul-betul di bawah rintangan saluran menaik

GBP/USD berundur sedikit daripada paras tertinggi berbilang bulan, walaupun tidak mempunyai tindak lanjut.Persediaan teknikal masih memihak kepada kenaikan harga dan menyokong prospek untuk keuntungan...

GBP/USD to extend its rally further to the May high at 1.2668 – Credit Suisse

A strong week for GBP/USD has seen the pair clear with ease the key 200-Day Moving Average, now at 1.2144. Analysts at Credit Suisse...

Kristalina Georgieva dari IMF menyifatkan inflasi, kelembapan China sebagai risiko kepada Asia

Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa Kristalina Georgieva menyifatkan tekanan inflasi yang meningkat dan kelembapan ekonomi China sebagai risiko kepada prospek ekonomi Asia, menyeru penggubal...
spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here