Bank Pusat Indonesia akan ‘campur tangan secara agresif’ di pasaran domestik bagi mempertahankan mata wang negara yang terjejas oleh tarif tinggi dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dagangan dijangka disambung pada Selasa untuk kali pertama sejak Trump mengumumkan tarif terhadap 168 negara di seluruh dunia.
Pasaran Indonesia telah ditutup sejak 28 Mac lalu untuk cuti umum, dengan nilai rupiah jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS sejak krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an.
Pasaran global merosot pada Isnin selepas China mengenakan tarif tinggi terhadap Amerika Syarikat, memperburuk perang dagangan yang semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan kemelesetan ekonomi.
Lembaga pengarah Bank Indonesia pada Isnin bersetuju untuk campur tangan di pasaran luar pesisir di Asia, Eropah dan New York bagi menstabilkan mata wang negara dengan alasan ‘tekanan global yang hebat’ terhadap rupiah.
“Bank Indonesia juga akan campur tangan secara agresif di pasaran pertukaran asing domestik selepas pasaran dibuka pada 8 April 2025, sambil membeli sekuriti kerajaan (SBN) di pasaran sekunder,” kata bank itu dalam satu kenyataan.
Pengumuman ‘Hari Pembebasan’ oleh Trump menyaksikan negara kepulauan itu dikenakan tarif tambahan sebanyak 32 peratus ke atas barang-barangnya, lebih tinggi daripada kadar 10 peratus yang dikenakan ke atas semua negara dan negara jiran Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Filipina.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, negara itu akan berunding dengan Washington untuk meminta perjanjian yang lebih baik.