Seorang pengarah sebuah syarikat pelaburan mata wang asing iaitu Forex didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai sehingga RM470,000, tahun lalu. Bagaimanapun tertuduh iaitu Norman Zakaria yang berusia 31 tahun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan seorang pengarah syarikat Essence Pro Services telah memindahkan wang berjumlah RM470,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari sebuah akaun milik syarikat itu kepada akaun sebuah syarikat lain. Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank iaitu di Seksyen 14 di sini pada 6 November tahun lepas.

Norman Zakaria (tengah) mengaku tidak bersalah memindahkan wang hasil aktiviti haram bernilai RM470,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama subseksyen 87 (1) Akta 613 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 20 Januari tahun depan.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Klik di sini untuk berita hangat yang lebih menarik..