Pengumuman mengenai rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, adalah langkah yang perlu demi masa depan negara.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menjelaskan ia bagi mencegah ketirisan selain memastikan subsidi itu betul-betul sampai kepada golongan sasar.
Menjelaskan mengenai pengecualian bagi pengguna di Sabah dan Sarawak, beliau berkata hal ini kerana kebanyakan daripada mereka masih bergantung kepada penggunaan diesel untuk tujuan pengangkutan.
Dengan pelaksanaan penyasaran subsidi untuk bahan api itu nanti, beliau berkata, ia berupaya menjimatkan perbelanjaan negara selain peruntukan berkenaan dapat digunakan untuk pembangunan lebih penting.
“Kerajaan Malaysia kerugian akibat subsidi tersebut tidak mencapai sasaran kepada yang benar-benar memerlukan, sebaliknya ia sampai kepada pemilik syarikat serta 3.8 juta warga asing.
“Walhasil kerajaan dapat menjimatkan wang sebanyak RM4 bilion setahun serta dapat menyalurkan subsidi kepada kelompok yang disasarkan.
“Dapatlah kerajaan untuk menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditambahbaik dan ditingkatkan kepada RM700 juta berbanding RM130 juta,” katanya di plaform X hari ini.
Dalam Perutusan Negara malam tadi, Perdana Menteri memaklumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung yang dianggar membawa penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.
Bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung, Anwar berkata kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.
Subsidi itu membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menurut Anwar, kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.