Islam memandang Emas sebagai simbol Kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempah menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.
PENGIRAAN EMAS
1. Emas Perhiasan Dipakai
Hukum asal sebarang bentuk pemakaian tidak diwajibkan zakat. Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Namun barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai. Apa yang berlebihan dengan adat dan kebiasaan adalah dilarang atau tidak digalakkan oleh syariah. Yusuf al-Qaradawi menyebut perhiasan wanita yang diperbuat selain emas dan perak, seperti mutiara, berlian dan batu berharga dikecualikan zakat, kerana ia dikhaskan untuk kegunaan peribadi dan tidak dianggap sebagai aset yang berkembang.
Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar uruf emas perhiasan sebanyak 800?gram. Justeru sebarang pemakaian yang berulang ataupun sekali dalam tempoh setahun melebihi 800?gram wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.
Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas yang perhiasan yang dipakai dalam tempoh setahun ialah 900 gram:
= Berat emas dipakai (jika melebihi nilai uruf Nota 1) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat
= 900 gram x RM165.68 (contoh) x 2.5%
= RM3,727.80
2.Emas Yang Disimpan (Tidak Dipakai)
Emas yang disimpan adalah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang benar-benar menjadi simpanan dan tidak digunakan sebagai perhiasan walaupun fizikalnya sama seperti emas perhiasan. Ianya termasuk barang kemas yang tidak dipakai kerana sudah rosak atau lama. Ianya juga termasuk barang perhiasan yang dimiliki oleh lelaki sungguhpun pemakaiannya haram disisi syarak. Jika jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 85 gram, serta melepasi tempoh masa 12 bulan atau setahun (cukup haul), maka wajib dikeluarkan zakat keatasnya sebanyak 2.5 peratus (%).
Formula Kiraan:
Berat emas disimpan (jika melebihi nilai nisab Nota 2) x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat
Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas yang disimpan dalam tempoh setahun ialah 200 gram maka:
= Berat Emas dipakai x Harga Emas semasa 1gram x Kadar Zakat 2.5%
= 200 gram x RM165.68 (contoh) x 2.5%
= RM828.40
Kiraan Zakat Emas Disimpan
3. Emas Pelaburan Patuh Syarak
Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;
i) pelaburan dalam emas fizikal dan
ii) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook)
Pelaburan Emas Fizikal
Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 400 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM1,400
Akaun Emas (Passbook)
Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.
Sebagai contoh, jika jumlah emas yang dimiliki dalam passbook sebanyak 200 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 200 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM700
4.Emas Pelaburan Tidak Patuh Syarak
Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;
i) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal dan ii) pelaburan emas melalui alam maya.
Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas
Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan.
Akaun Emas Maya
Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.
Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.
Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak:
Zakat
= Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat
= RM40,000 (contoh) x 2.5%
= RM1,000