Goodyear mengumumkan bakal menutup operasi kilang pengeluarannya di Shah Alam berkuatkuasa 30 Jun 2024 dan akan selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, ini merupakan sebahagian daripada program transformasi ‘Goodyear Forward‘, merangkumi beberapa tindakan spesifik bagi menurunkan kos operasi tahunan syarikat sebanyak US$1 billion (RM4.73 bilion), untuk kekal kompetitif serta menjadi peneraju industri.
Tambah beliau, berikutan penutupan kilang itu nanti, seramai 550 orang pekerja akan terkesan. Pihaknya komited untuk memastikan pekerjanya diuruskan dengan baik dan telus semasa proses ini.

“Seperti mana-mana penutupan kemudahan, akan ada kesan dan dalam kes ini, kira-kira 550 jawatan dalam operasi Malaysia terjejas.”
“Kami komited untuk melayan rakan sekerja dengan hormat dan ketelusan semasa proses ini,” jelas Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang.
“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah, tetapi kita perlu mengambil keputusan tersebut untuk memajukan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan kita.”
Penglibatan Goodyear di Malaysia bermula pada 1908 apabila firma pembelian getah, The Goodyear Orient Company ditubuhkan di Singapura untuk membeli getah daripada ladang-ladang di Malaysia dan Indonesia.
Jualan produk Goodyear di negara ini telah pun bermula sejak 1929 menerusi pejabat Goodyear Sales Company yang terletak di Singapura.
Untuk rekod, kilang pengeluarannya di Malaysia mula dibuka sejak tahun 1972.
Pada tahun 1985, syarikat tersebut menjadi pembekal tayar untuk kereta nasional yang pertama, iaitu Proton Saga.
Kilang Goodyear di negara ini turut menerima pengiktirafan ISO 9002 (1992), QS9000 dan ISO14001 (2002), diikuti ISO / TS 16949 (2003). – Funtasticko