Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa China akan terus menjadi rakan dagang paling penting bagi Malaysia, dengan hubungan dua hala yang kukuh bukan hanya dilihat melalui angka perdagangan, tetapi juga melalui komitmen bersama terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.
Berucap pada Majlis Makan Malam sempena Lawatan Rasmi Presiden China Xi Jinping di Seri Perdana, Anwar berkata Malaysia dan China telah lama berganding bahu, sama ada dalam kejayaan mahupun cabaran, sebagai rakan sejati dan rakan strategik komprehensif.
“Kepercayaan yang dibina antara dua negara perlu dijaga dengan kesabaran dan komitmen,” katanya, sambil memuji inisiatif global China seperti Belt and Road, Inisiatif Pembangunan Global, dan Inisiatif Peradaban Global yang mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian.
Anwar turut mengkritik trend ekonomi global yang kembali ke arah ‘tribalisme’ dan menyeru agar perdagangan dilihat sebagai kerjasama, bukan pertandingan.
Dalam konteks ini, beliau menyifatkan China sebagai rakan yang konsisten, rasional dan boleh dipercayai, serta menegaskan bahawa Malaysia akan kekal sebagai rakan teguh China, selaras dengan dasar luar negara yang memfokuskan kepentingan nasional dan keutamaan ASEAN.
Lawatan Presiden Xi kali ini merupakan kunjungan rasmi kedua ke Malaysia sejak 2013, sekali gus memperkukuh lagi hubungan diplomatik yang terjalin lebih lima dekad.