Di saat perang perdagangan dengan Amerika Syarikat yang masih memuncak serta ketegangan bersama pentadbiran Donald Trump, Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, telah tiba di Malaysia pada 15 April untuk lawatan rasmi selama tiga hari — yang juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara ini selepas 12 tahun. Xi kini sedang dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara, selepas melawat Vietnam sebelum tiba di Kuala Lumpur.
Namun, di Amerika Syarikat, pengulas konservatif dan bekas hos televisyen terkenal, Bill O’Reilly, menyindir kunjungan Xi Jinping itu dalam satu klip video yang kini tular di media sosial.
“Hei Presiden Xi, biar saya berterus terang. Orang-orang di sana (Malaysia) tak ada duit, okey. Mereka tak boleh bantu awak. Mereka takkan beli barang awak sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly dengan nada mengejek.
Beliau turut membuat spekulasi bahawa kunjungan itu mungkin bertujuan untuk menyeludup barangan dari China di bawah label Vietnam.
“Mungkin dia cuba seludup barang China guna label Vietnam, tapi itu akan mudah dikesan,” tambah O’Reilly lagi.
O’Reilly, yang kelihatan keliru dengan tujuan lawatan Xi Jinping ke rantau ini, turut mempersoalkan strategi diplomatik China, sambil menyatakan bahawa “Amerika Syarikat masih ada duit”.
“Orang Melayu takkan beli barang awak, mereka tak ada duit,” katanya dengan yakin, walaupun kenyataan tersebut dipertikaikan ramai pihak yang menganggapnya tidak berasas dan bersifat prejudis.
Latar Belakang Bill O’Reilly
Untuk rekod, Bill O’Reilly pernah menjadi hos rancangan terkenal The O’Reilly Factor di saluran FOX News selama lebih dua dekad. Namun, beliau telah dipecat oleh FOX News pada tahun 2017 susulan pelbagai kontroversi, termasuk dakwaan gangguan seksual dan sikapnya yang sering menimbulkan kenyataan kontroversial serta berbaur perkauman. O’Reilly juga dikenali kerana pandangan politiknya yang konservatif dan sering mengkritik dasar luar negara yang tidak sehaluan dengan pendirian Amerika Syarikat.