Sekarang ini saya tengok makin hari makin ramai yang berminat untuk mendalami ilmu pelaburan. Tambahan lagi, ramai yang nampak menjadi trader merupakan salah satu jalan untuk mengembangkan karier. Mana tidaknya dengan melabur sejumlah duit, duit anda berpotensi untuk dikembangkan. Bila duit berkembang, sudah pasti lebih banyak perkara yang boleh dipenuhi. Bagi saya ini suatu perkembangan positif kerana masyarakat mula mengambil berat perihal masa depan kewangan mereka terutama bab pelaburan. Tapi, sebelum anda buat keputusan untuk memilih menjadi seorang trader, anda perlu mengetahui konsep 3 M. Ketiga-tiga M ini adalah sangat penting, dan kita boleh menganggapnya sebagai tiga tonggak dan tulang belakang dalam pelaburan.
Ayuh kita pelajari apa itu 3M :
#1 Mind (Minda)
Minda merupakan komponen yang paling penting dan utama daripada yang lain. Hal ini kerana kita tidak dapat menjana wang secara berterusan jika tidak mempunyai mindset trading yang betul. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai mindset dunia pelaburan yang betul.
Kawalan minda sangatlah penting bagi seorang trader dalam membuat trading. Setiap trader perlu mempunyai objektif dan target mereka tersendiri seperti meletakkan had keuntungan atau kerugian yang mereka mahukan atau mampu tanggung.
Sekiranya trader tidak mampu untuk mengawal minda dalam menghadapi godaan dalam membuat trading dengan membeli saham secara melulu, kemungkinan besar mereka akan mudah putus asa dalam membuat trading.
Trading mempunyai risiko tinggi dimana trader perlu bijak dalam mengendalikan diri dan mempunyai kemampuan yang dimulai dengan pemahaman tentang apakah yang mereka mahu lakukan dan apakah risiko yang mereka akan ambil.
Disebabkan itu, kita perlu memikirkan lebih banyak mengenai hakikat bahawa sangat mudah kehilangan wang dalam trading, dan bukannya fakta bahawa mungkin kita boleh memperoleh keuntungan besar pada setiap trading yang kita lakukan. Oleh itu, trader dinasihati supaya berhati-hati dalam membuat trading seperti tidak membeli saham secara berlebihan kerana ini boleh mempengaruhi minda trader sekiranya kerugian berlaku.
#2 Money Management (Pengurusan Wang)
Sebagai seorang trader yang bijak, pengurusan wang amat penting bagi memastikan kita tidak kerugian keseluruhan modal pelaburan. Kita dinasihatkan, jangan meletakkan semua wang kita ke dalam satu saham sahaja.
Berikut merupakan cara pengurusan wang yang boleh kita ikuti:
- Kita perlu sentiasa memikirkan risiko sebelum membuat sesuatu keputusan.
- Kita perlu tahu berapa jumlah risiko per pelaburan dan jangan melebihi daripada jumlah yang kita sudah tetapkan. Jumlah wang ini adalah jumlah yang kita sanggup hilang bila berlakunya penurunan harga saham dalam trading.
- Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang bagaimana meletakkan sasaran keuntungan.
- Kita perlu memahami cara mengira risiko dan pulangan (risk and reward ratio) pada pelaburan dan ini bermakna kita juga perlu tahu samada dagangan itu berbaloi untuk diambil atau tidak dan adakah risikonya tinggi atau rendah?
Sekiranya kita tidak mempunyai pengurusan wang yang betul, mindset yang telah kita tetapkan akan mudah bercelaru atau hilang. Kaedah kita juga akan menjadi kurang atau tidak relevan sekiranya kita tidak dapat menguruskan wang dengan bijak.
Oleh itu, lebih mudah untuk kita fokus dalam menguruskan wang kita, terutamanya risiko kerugian. Ketahuilah bahawa pemeliharaan modal adalah kunci utama pengurusan wang. Pemeliharaan modal bermaksud menguruskan modal pelaburan kita supaya kita tidak menggunakannya terlalu banyak atau secara berlebihan.
#3 Method (Cara)
Method ialah pendekatan atau kaedah yang pelabur gunakan untuk menganalisis atau mengkaji harga, menentukan harga beli, cut loss, harga sasaran (target price) dan sebagainya. Sebelum masuk ke dalam pasaran saham, kita perlu tahu dan mesti mempunyai kaedah pelaburan yang berkesan.
Contohnya, kita perlu tahu sebab mengapa kita beli sesuatu saham? Adakah kerana fundamentalnya baik? Atau munculnya signal beli pada carta?
Oleh itu, kita perlulah menilai sama ada kaedah pelaburan yang digunakan oleh kita, adakah ia berkesan atau tidak? Sebagai trader yang baharu di dalam dunia saham, kita boleh cuba melakukan paper trading selama beberapa bulan dan melihat hasil yang kita perolehi.
Paper trade boleh dilakukan dengan cuba bermain di game pelaburan yang telah disediakan seperti di TradingView atau Bursa Marketplace. Satu peringatan, pastikan kita mengikuti kaedah seperti yang diajarkan.
Contohnya, menggunakan beberapa indikator sebagai panduan beli dan jual dalam pelaburan seperti Moving Average (MA), Exponential Moving Average (EMA), Simple Moving Average (SMA) dan sebagainya.
Kesimpulan
Jika kita nak melakukan sesuatu perkara, kita perlu tahu caranya sebelum nak buat sesuatu. Kalau kita tak tahu cara, kita boleh dapat kerugian yang besar dan akan menyesal satu hari nanti. Sebab tu penting untuk kita tahu konsep 3M ini.
Yang mana 3M (Mind, Money Management and Method) ini perlu untuk kita sentiasa ingat sebelum membuat sesuatu trade. Oleh itu, sekiranya kita gabungkan 3M ini dan praktik dalam dunia trading kita, pasti kita akan dapat bertahan lama dan berjaya dalam dunia trading ini.
RUJUKAN:
