Sejak akhir-akhir ini,budaya memberi dan menerima rasuah bagaikan tidak ada kesudahannya.Malah ia diibaratkan sedang dinormalisasikan bila mana penerima rasuah tidak segan silu memaparkan kemewahan dan kekayaan hasil makan rasuah dengan menganggap ianya adalah rezeki untuk anak bini.
Pemberi rasuah pulak telah mula menganggap ianya adalah sebagai perkara biasa dan perlu dilakukan untuk urusan seharian.Buat kesalahan trafik,mintak kawtim.Buat permohonan tanah,lesen dan sebagainya,bagi pemanis.Daripada rakyat marhaen,penjawat awam,institusi agama, sehinggakan pemimpin politik.Semuanya sedang bergelumang dengan rasuah.Memberi dan menerima rasuah dengan gembira malah tidak segan silu memuat naik status ‘Alhamdulillah,rezeki hari ini.’
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai rasuah?
Rasuah ialah apabila seorang cuba membayar sejumlah wang bagi melepaskan diri daripada saman trafik, dan duit itu pula diterima oleh penguatkuasa sebagai imbuhan untuk melepaskannya.
Rasuah ialah apabila seorang mengambil tawaran daripada seorang pembida agar peluang dia memenangi bida tersebut menjadi tinggi sebagai imbuhan.
Rasuah ialah apabila ada pihak menawarkan duit kepada pengundi supaya pengundi dapat mengundi pihaknya sebagai imbuhan.
Dalam erti kata lain, rasuah sebenarnya ialah tindakan memakan harta orang lain dengan cara yang batil iaitu menerima rasuah atau suap bagi mendapatkan manfaat seperti menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya atau merugikan lawannya, didahulukan urusannya atau ditunda kerana suatu kepentingan atau mendapatkan satu kedudukan dan pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan pemberi rasuah daripada mereka di kedudukan berkuasa.
Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan.
Yang menyayatkan hati ialah meskipun mengetahui rasuah ialah satu perbuatan jenayah, namun rakyat dan kerajaan telah membiarkan virus ini menular dan menjadi darah daging masyarakat.
Rasulullah S.A.W. dalam hadis sahih menyebut:”Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Hatta di dalam ayat Quran pun disebut rasuah adalah haram di sisi Islam.
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” Al-Baqarah: 188
Cuma masalahnya, ramai yang hanya mulutnya menolak rasuah, namun apabila berdepan dengan rasuah, ia pula dianggap rezeki.
Contoh yang paling mudah ialah rasuah kesalahan trafik. Yang memberi rasuah menganggap ia adalah rezekinya untuk membayar ‘denda’ yang jauh lebih rendah daripada sepatutnya manakala penerima rasuah menganggap ia adalah rezeki lebihan kerana berbuat baik melepaskan seorang pesalah trafik.
Perkara yang sama juga berlaku di peringkat yang lebih tinggi, apabila pembida kontrak memenangi bidaan yang tidak sepatutnya dimenangi melalui rasuah menganggap itu adalah rezekinya. Penerima rasuah pula berasa ia adalah rezeki tambahannya kerana ada pembida yang sanggup membayarnya, kerana baginya tiada beza sekiranya projek itu dianugerah kepada pembida A mahupun B.
Ramai juga yang tidak mengerti kesan rasuah. Penerima rasuah merasakan rezeki mereka bertambah sehingga mereka boleh hidup mewah di luar kemampuan mereka. Pemberi rasuah pula selalu mendapat manfaat daripada cara yang batil walaupun mereka tidak layak dan merompak hak mereka yang layak.
Jelas, mereka yang dipandu hawa nafsu, sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat dan tidak bersyukur sehingga melibatkan diri dalam rasuah gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah.
Rasuah bukan sahaja menaikkan kos sara hidup, akan tetapi ia juga mengganggu dan membantu pentadbiran sesebuah kerajaan. Dunia perniagaan menjadi tidak menentu dan menjurus ke arah kerugian. Pelabur hilang minat melabur di negara, dan ini mengurangkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Akhirnya, rakyat yang hidup jujur dan bermaruah akan susah kerana sebahagian kos sara hidup mereka telah ditelan oleh rasuah.
Rasuah menjadi punca utama rosaknya rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang bermaruah dan tercemarnya imej Islam. Rasuahlah yang membawa negara ke tahap hari ini. Tidak keterlaluan jika kita menggelar sesiapa yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara.
Mereka yang menikmati rasuah sebagai rezeki juga lupa kesannya kepada ahli keluarga yang diberi makan minum dari hasil yang haram tersebut. Sedangkan Rasulullah ada menyebut dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.
Justeru, sudah sampai masanya agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara ‘dicuci’ daripada kepala hingga ekor bagi memutuskan rantaian dengan penjenayah untuk mengelakkan salah guna kuasa.Mereka yang bersalah perlu dikenakan tindakan berat agar memberi pengajaran kepada pegawai dan anggota lain.
Selain itu, kerajaan juga perlu mengetatkan syarat pengambilan pegawai dan anggota, buat saringan dua tahun sekali dan mantapkan ilmu agama masing-masing.
Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap pemberi dan penerima.Budaya menormalisasikan perbuatan memberi atau menerima rasuah serta menganggap ianya sebagai sebahagian dari rezeki perlu dihalang daripada terus berleluasa serta merosakkan pemikiran generasi pewaris negara ini.